PERANAN DAN SUMBANGAN TUAN MOHD TAHIR BIN HAJI AHMAD DALAM BIDANG PERIKANAN DAERAH PAPAR DARI TAHUN 2007 SEHINGGA 2015
PERANAN DAN SUMBANGAN TUAN MOHD TAHIR
BIN HAJI AHMAD DALAM BIDANG PERIKANAN DAERAH PAPAR DARI TAHUN 2007 SEHINGGA
2015
1.0 Pengenalan
Menurut Pusat Rujukan Persuratan
Melayu, tokoh merupakan kata nama yang bersinonim dengan orang kenamaan, orang
terkemuka, orang terkenal, pakar dan ahli malahan tokoh juga bersinonim dengan
gaya, lagak, rupa, watak, perwatakan, keperibadian dan personaliti.[i] Tokoh mempunyai ciri
kepimpinan yang memainkan peranan penting dalam kemajuan sesebuah masyarakat.
Dengan ciri kepimpinan yang cemerlang, kemajuan dan pengetahuan masyarakat
dapat berjaya dibentuk dan dipertingkatkan. Dengan adanya tokoh-tokoh kemimpinan
inilah maka negara kita akan lebih maju dan proaktif terutamanya dalam kalangan
masyarakat. Malaysia telah banyak melahirkan tokoh yang ternama dalam bidang
yang tertentu seperti politik, sukan dan pendidikan.
Tokoh ialah seorang pemimpin yang
disegani, dihormati dan dikenali dalam kalangan masyarakat serta seorang yang
telah memberikan banyak sumbangan kepada masyarakat. Sebagai contoh, YBhg.
Datuk Rayner S. Galid sebagai Pengarah Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya
membawa Jabatan ke suatu tahap yang cemerlang selama 38 tahun berkhidmat di
dalam perkhidmatan awam.[ii] Mengingat kedudukan dan
peranan ketua sebagai tokoh masyarakat, maka tokoh memiliki kemampuan untuk
menggerakkan masyarakat dalam melaksanakan pembangunan termasuk di dalam
pengelolaan sumberdaya perikanan di tempatnya. Hanafi (1987) mengatakan bahawa
tokoh masyarakat adalah orang-orang yang memiliki kemampuan untuk mempengaruhi
orang lain.[iii]
Pengkaji telah memilih Tuan Mohd Tahir
Haji Ahmad yang merupakan seorang penjawat awam iaitu selaku Penguasa Perikanan
Daerah Papar sebagai orang kajian. Pengkaji akan menjelaskan peranan Tuan Mohd
Tahir Hj. Ahmad dalam mengetuai organisasinya iaitu Pejabat Perikanan Daerah
Papar untuk memastikan pembangunan industri perikanan khususnya di Daerah Papar
dari tahun 2007 hingga 2015 semakin maju. Selain itu, kajian ini juga sedikit sebanyak
menjelaskan latar belakang dan sejarah pendidikan tokoh itu sendiri yakni Tuan
Mohd Tahir termasuklah profail peribadi, tahap pendidikan, pengetahuan dan
pengalaman selama bekerja.
Pejabat Perikanan Daerah Papar
diwujudkan bagi menjadi sebuah pusat khidmat tempatan yang bertanggungjawab
dalam semua perkara yang berhubungkait dengan sektor perikanan dimana penumpuan
utama ialah kepada pembangunan sosio ekonomi kumpulan sasar iaitu nelayan,
penternak ikan dan pengusaha hiliran perikanan. Selain daripada itu, Pejabat
Perikanan Daerah Papar juga bertanggungjawab terhadap pembangunan dan
pengurusan serta penyelidikan sumber perikanan melalui beberapa program dan
aktiviti terancang.
Sesuai dengan tugas dan tanggungjawab
Tuan Mohd Tahir Hj. Ahmad selaku ketua di Pejabat Perikanan Daerah Papar maka
sudah semestinya beliau memainkan peranan penting dalam mengerakkan
organisasinya membangunkan sektor perikanan di Daerah Papar. Kajian ini turut
berkisar sekitar sumbangan yang telah diberikan oleh Tuan Mohd Tahir Hj. Ahmad
dalam bidang perikanan dari tahun 2007 sehingga 2015 khususnya kepada
masyarakat setempat. Jelaslah, terdapat banyak pengajaran dan ilmiah yang boleh
diperolehi oleh pengkaji dalam menjalankan kajian ini.
2.0 Latar belakang tokoh
Tuan Mohd Tahir Haji Ahmad merupakan
anak kepada pasangan Haji Ahmad Dullah dan Hajah Dg. Rahimah Hj. Ag Nordin yang
dilahirkan pada 09 Jun 1964 di Hospital Queen Elizaberth, Kota Kinabalu. Tuan
Mohd Tahir berasal daripada Kg.Buang Sayang dan membesar di Kota Kinabalu.
Beliau merupakan anak ke 6 daripada 8 orang adik-beradik. Adik-beradik tokoh
terdiri daripada Dg. Safiah Hj. Ahmad, Hjh. Dg. Afsah, Hj. Mohd Sidek, Hjh.
Zainon, Dg. Salbiah, Dg. Arifah dan Zainuddin. Bapa beliau bertugas sebagai
seorang kakitangan Jabatan Penjara manakala ibu tokoh hanyalah seorang suri
rumah. Bapa tokoh pada awalnya merupakan seorang nelayan namun bapa beliau
telah menerima panggilan kerja daripada kerajaan dalam bidang polis. Menurut
tokoh juga, keluarga beliau adalah berketurunan nelayan dari zaman nenek moyang
lagi maka tidak dinafikan darah beliau dengan bidang kelautan mempunyai
pertalian yang kuat. Keluarga tokoh bukanlah dari keluarga yang senang, demi
menyara kehidupan, tokoh dan adik-beradiknya sering menjaja kuih-muih secara
kecil-kecilan dan dapat memperoleh pendapatan RM10-15 seminggu pada zaman
persekolahan.
Pada tahun 1971-1976, beliau mula
mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Aru dari umur
6 tahun sehingga 12 tahun. Seterusnya pada 1977, beliau melanjutkan
persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac ketika berumur 13 tahun
sehingga 17 tahun. Beliau berjaya menamatkan zaman sekolah menengah beliau
dengan menduduki peperiksaan besar tingkatan lima iaitu SPM dengan keputusan
lulus pangkat 3. Dengan keputusan yang diperolehi oleh beliau, beliau telah
mendapat tawaran pekerjaan daripada pihak kerajaan untuk bekerja di dalam
Jabatan Perikanan. Menurut beliau, beliau tidak pernah bercita-cita langsung
untuk berkecimpungan dalam bidang perikanan ini kerana beliau mempunyai
cita-cita yang lain namun beliau menganggap peluang pekerjaan ini merupakan
rezeki besar yang datang dari Allah S.W.T. kepada beliau.
Pada 1 Jun 1982, beliau telah mula bekerja
di Ibu Pejabat Perikanan Kota Kinabalu, setelah mula bekerja barulah pihak
kerajaan menyediakan pengajian lanjut bagi membolehkan beliau mempelajari
segala asas-asas dalam bidang tersebut. Beliau telah dihantar ke Institusi Batu
Maung, Pulau Pinang pada tahun 1987 sehingga 1988 bagi melanjutkan pelajaran
mengenai bidang perikanan. Setelah setahun beliau berada di negeri orang bagi
menamatkan pengajian beliau, beliau telah dihantar bekerja di Kunak pada tahun
1992-1993. Tempat inilah bermulanya kerjaya beliau dalam bidang perikanan
sebagai pembantu perikanan. Bagi menambahkan ilmu pengetahuan beliau dalam
bidang ini, beliau pernah dihantar ke South East Asian Fisheries Diploment
Center (SEAFDEC), Bangkok, Thailand pada tahun 1987-1988 untuk menghadiri kursus
perikanan (kursus pendek) teknologi perikanan selama 3 bulan.[iv] Hobi beliau sebenarnya
lebih kepada bersukan dan berseni musik seperti bola sepak, bola tampar,
bermain alat muzik dan bernyanyi namun setelah bekerja beliau mula meminati
aktiviti memancing, beliau sering ke sungai atau laut tengah bersama rakan
sekerjanya bagi memuaskan diri beliau dengan memancing ikan. Dengan memancing
ikan, beliau dapat merapatkan diri beliau dengan hidupan yang ada di laut.
Ketika tahun 1987, beliau mendirikan
rumahtangga dengan seorang wanita bernama Rosiah Hj. Umar. Beliau mendapat
seorang anak lelaki iaitu Mohd Hafiz hasil daripada perkahwinan tersebut. Namun
pada tahun 1991, beliau telah bercerai dengan isterinya. Beliau telah bertemu
dengan seorang wanita yang banyak menyokong beliau dalam kehidupannya, beliau
telah berkahwin sekali lagi dengan wanita ini yang bernama Paidah Paijo pada
tahun 1992 dan dikurniakan 4 orang anak iaitu Mohd Hanafi, Dg. Nur Haffizah, Dg
Nur Hafirah dan Dg Nur Hafiqah.
Seterusnya, beliau telah dipindahkan ke
Jabatan Perikanan Semporna pada tahun 1993 sehingga 2003. Pada ketika ini, anak
beliau Dg Nur Hafirah dan Dg Nur Hafiqah telah dilahirkan di Hospital Semporna.
Seterusnya, beliau telah membawa keluarganya berhijrah ke daerah Papar semula
pada tahun 2003, pada waktu itu anak bongsunya Dg Nur Hafiqah baru berumur 4
tahun. Anak-anak beliau telah dipindahkan sekolah demi tuntutan kerja beliau
dalam jabatan perikanan. Kerjaya beliau dalam bidang ini merupakan punca
pendapatan keluarganya. Keluarga beliau memang sudah sedia maklum dengan
kesibukan beliau yang sering kali bekerja di luar kawasan dan dipindahkan
tempat bekerja.[v]
Apabila bertugas di Papar, jawatan beliau telah dinaikkan pangkat kepada
Penguasa Perikanan Daerah Papar. Menurut beliau, kerajaan lebih mementingkan
pengalaman seseorang individu tersebut berbanding dalam bidang akademik. Beliau tidaklah mempunyai pendidikan yang
begitu tinggi tetapi jawatan yang disandang oleh beliau adalah setaraf dengan
pangkat Dr. dan Phd. [vi]Hal ini berlaku kerana di
dalam jabatan, mereka mempunyai peperiksaan-peperiksaan besar seperti
pengesahan jawatan, kenaikan pangkat dan lebih banyak lagi. Pengalaman
diberikan perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan kerana golongan
berpengalaman ini lebih banyak turun padang dalam melakukan pekerjaan seperti
penyelidikan dan pemeriksaan. [vii]Setelah hampir beberapa
tahun berada di dalam bidang perikanan, beliau mula melihat isu-isu mengenai
bidang ini di dalam kalangan masyarakat Papar. Isu-isu perikanan yang ada sangat
banyak dan tidak stastik serta sentiasa ada seperti tahap kemiskinan golongan nelayan,
pencerobohan individu ke tempat perikanan, pencemaran sungai, pemasaran hasil
perikanan dan pengeluaran produk ikan. [viii]Beliau berminat untuk
menabur bakti kepada masyarakat setempat di tempat asal beliau.
3.0 Peranan Tuan Mohd Tahir dalam
bidang perikanan
Menurut Soekarno (1990), peranan (role)
merupakan aspek dinamik kedudukan (status). Apabila seseorang itu melaksanakan
hak dan tanggungjawabnya sesuai dengan kedudukannya, maka dia telah menjalankan
suatu peranan. Peranan dan kedudukan tidak dapat dipisahkan, hal ini dikatakan
demikian kerana kedua-duanya bergantung antara satu sama lain. Setiap orang
mempunyai pelbagai peranan yang berasal dari pola-pola pergaulan kehidupanya.
Peranan menentukan apa yang harus diperlakukan untuk masyarakat, serta
peluang-peluang yang diberikan oleh masyarakat kepadanya. Peranan menyebabkan
seseorang pada batas tertentu dapat meramalkan perbuatan orang lain.[ix]
Dalam Sosiologi, “teori peranan”
berkaitan dengan teori struktur fungsional. Teori ini menganggap bahawa orang
yang menduduki fungsi dalam struktur sosial dan setiap posisi memiliki peranan.
Peranan adalah sekumpulan harapan atau perilaku yang berhubungan dengan posisi
dalam struktur sosial. Gagasan ini menyatakan bahawa peranan selalu
dipertimbangkan dalam konteks relasi kerana hanya dalam relasi peranan dapat
dikenali. (Munson dang Balgopsl, 1978)[x]
Oleh itu, konteks yang dibincangkan
adalah peranan Tuan Mohd Tahir Hj. Ahmad selaku pembantu perikanan dalam
jabatan perikanan daerah Papar. Menurut tokoh, di dalam bidang perikanan
terdapat pembahagian jawatan yang berbeza antara jabatan dan juga peringkat
daerah. Di dalam jabatan, jawatan beliau adalah sebagai pembantu perikanan
ataupun boleh dipanggil sebagai penolong pegawai perikanan. Jawatan pembantu
perikanan pula terbahagi dalam pelbagai bentuk seperti pembantu perikanan
kanan, pembantu perikanan jawatan khas, dan penolong pegawai perikanan. Dalam
peringkat daerah, jawatan beliau lebih dikenali sebagai penguasa perikanan
daerah. Penolong pegawai perikanan dan penguasa perikanan daerah merupakan
jawatan yang tertinggi daripada jawatan lain yang ada di dalam jabatan. Hal ini
secara tidak langsung telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang tinggi dan
menjadi ketua kepada ahli-ahli Jabatan Perikanan Papar. Peranan beliau adalah
untuk memimpin dan mengetuai setiap program terancang yang telah disediakan
draf dalam jabatan untuk dilaksanakan. Tuan Mohd Tahir telah melakukan kajian
dan penyelidikan, mengadakan perancangan dan menyelesaikan masalah dan
melakukan pembangunan perikanan bagi memastikan urusan pentadbiran dalam
jabatan dan isu mengenai perikanan yang berlaku di luar dapat diuruskan dengan
baik. Beliau telah berusaha memajukan kegiatan perikanan di daerah Papar.
Sebagai contoh, Sungai Tagal di
Kampung Kinolosodon, Ulu Kimanis telah dibantu oleh Tuan Mohd Tahir bagi
menguruskan sumber perikanan. Tokoh telah bertindak sebagai penyelia bagi
menguruskan projek itu. Tokoh telah memberikan pelbagai kursus dan kemudahan
kepada penduduk kampung Ulu Kimanis untuk bersama-sama mencapai cita-cita
memajukan sungai Kinolosodon sebagai tempat perikanan. Seterusnya, tokoh berusaha
membantu usahawan-usahawan hiliran seperti pengusaha jeruk ikan di Kg, Biau,
Bongawan dan pengusaha kerepok lekor di Kg, Benoni, Papar, untuk meningkatkan
pemasaran produk mereka di pasaran. Pada tahun 2007, tokoh telah mula membantu
golongan usahawan-usahwana hiliran memajukan perniagaan mereka. Setiap kali program
pameran produk perikanan diadakan, beliau akan mempromosikan setiap
produk-produk perikanan usahawan-usahawan yang dibantu itu bagi
mengkomersialkan produk mereka. Tokoh juga telah memberikan bantuan mesin
pengisar lekor kepada pengusaha hiliran keropok lekor iaitu Encik Sapian di Kg
Linggan, Papar.
Bagi penternak ikan pula, Tuan Mohd Tahir
telah mewujudkan Persatuan Pengusaha Pengusaha Akuakultur Daerah Papar (PPADP)
pada tahun 2009 bagi membantu pengusaha Hatcheri iaitu pembekal dan pengeluar
benih-benih ikan. Persatuan ini telah banyak membantu penternak-penternak ikan
seperti Encik Mali di Kampung Manggis,Papar. Persatuan ini ditubuhkan oleh
tokoh kerana tokoh melihat banyak perkara yang boleh dibantu dan dilakukan bagi
memajukan industri ini. Dari segi Infranelayan, tokoh telah menjalankan
pembinaan jeti pendaratan ikan di beberapa buah kampung di sekitar Papar. Pada
tahun 2010, beberapa jeti telah dibina ekoran permintaan yang tinggi daripada
para nelayan di sekitar kampung di Papar. Tokoh melihat dengan adanya pembinaan
beberapa buah jeti pendaratan ikan, beban golongan nelayan dapat diringankan.
Dulu masyarakat nelayan tidak dipercaya
kerana dianggap tidak memiliki kemampuan untuk mengelola karena umumnya
mengenyam (tahap) pendidikan relatif mereka rendah padahal mereka memiliki
pengalaman yang luar biasa, iaitu pengalaman yang berkembang disebut
pengetahuan lokal.[xi] Namun Tuan Mohd Tahir
turut membantu golongan nelayan dengan memberikan bantuan dari segi peralatan
penangkapan ikan kepada mereka. Bantuan kewangan juga turut diberikan kepada
golongan nelayan. Bantuan-bantuan sebegini amat penting bagi tokoh kerana hal
ini dapat membantu sedikit sebanyak kepada hasil tangkapan golongan nelayan. Akhir
sekali, bagi memajukan bidang kerja di dalam jabatan mahupun kerjaya beliau,
beberapa kursus telah dianjurkan oleh tokoh berkaitan dengan perikanan seperti
kursus kemahiran menternak ikan tawar. Kursus ini dilakukan agar dapat
memberikan ilmu pengetahuan kepada orang awam yang menternak ikan di sekitar
rumah mereka supaya lebih mahir menguruskan ternakan ikan tawar mereka.
Kemahiran memimpin sememangnya amat penting
bagi sesebuah organisasi kerana pemimpin terbaik menentukan kecemerlangan
organisasi. Tindakan memimpin organisasi perlu dilakukan dengan cara yang
paling efektif. Pemimpin organisasi bertanggungjawab mengubah para pekerja
menjadi individu yang lebih proaktif. [xii]Kemajuan organisasi
dipengaruhi oleh empat elemen utama iaitu manusia, sktuktur, teknologi dan
persekitaran. Oleh itu, pemimpin yang berjaya ialah pemimpinan yang sentiasa
peka dengan tuntutan perubahan, sama ada perubahan dalaman yang di dalam
kawalannya atau perubahan luaran yang di luar kawalan mereka.[xiii] Melihat kepada aspek
ini, beliau juga telah acap kali mengikuti kursus kepimpinan bagi menguasai
ilmu kepimpinan untuk memimpin ahli-ahli di dalam jabatan beliau. Beliau sedar
ciri kepimpinan yang baik harus ada dalam diri beliau bagi memantapkan pentadbiran
di dalam jabatan beliau.
4.0 Sumbangan Tuan Mohd Tahir dalam
bidang perikanan
Antara sumbangan yang telah dilakukan
oleh tokoh ialah program-program tindakan di dalam Pejabat Perikanan Daerah
Papar yang bukan sahaja meliputi kerja-kerja di laut malahan di darat juga. Di
laut, kumpulan sasar mereka iaitu nelayan diberikan penguatkuasaan
undang-undang, penyelidikan, dan khidmat nasihat dalam menjalankan kegiatan
ekonomi mereka.
Di sungai, beliau telah berjaya
melaksanakan program tagal seperti Sistem Tagal di Kg.Kinolosodon Ulu Kimanis,
Papar, Sabah. Tagal adalah sistem yang bertujuan untuk menjaga hidupan di
sungai itu dikawal agar hidupan tersebut dapat membesar dan membiak dengan
selamat. Peraturan sistem ini juga dikuatkuasakan oleh penduduk kampung itu
sendiri. Antara peraturan Sistem Tagal adalah seperti tidak boleh menangkap
segala jenis hidupan di dalam sungai itu. Bagi orang Sabah, sesiapa yang
melanggar peraturan boleh dikenakan sogit. Sogit bermaksud bayaran denda dari
segi wang ringgit yang diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah.[xiv] Tempat ini yang
dahulunya adalah sebuah sungai yang tidak mempunyai hidupan ikan telah dibantu
oleh tokoh dan ahli-ahli jabatan yang lain dengan memberikan tunjuk ajar
mengenai penternakan ikan, bertindak sebagai penyelia, dan menyalurkan bantuan
yang diperlukan termasuk geran untuk pembinaan kemudahan infrastruktur projek
kepada orang-orang kampung di sekitar kampung tersebut. Kesannya, sungai ini
telah menjadi sebuah tempat ekopelancongan di Papar yang bertaraf antarabangsa
sehingga berjaya menarik ramai pelancong asing datang untuk melawat sungai
Kinolosodon ini manakala kesan kepada masyarakat pula ialah sungai tersebut
dalam dikekalkan ekosistem sehingga dapat membuka peluang pekerjaan dan peluang
ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut. Bayaran yang dikenakan
hanyalah RM1.00 seorang dan jika ingin memberi makanan baja kepada ikan agar
ikan-ikan mengelilingi kaki pelancong, harga baja yang disediakan berharga
RM5.00. Wang yang diperolehi inilah yang menjadi sumber pendapatan penduduk
Kampung Kinolosodon. Kejayaan sesebuah projek Sistem Tagal bergantung kepada
kerjasama dan komitmen penduduk kampung yang terlibat dalam projek berkenaan.[xv] Kesedaran masyarakat
Kadazan di sini, telah mengubah sikap untuk melancarkan Sistem Tagal iaitu
pemeliharaan ikan di Sungai Ulu Kimanis.[xvi]
Beliau juga melakukan pengurusan
sumber perikanan, mengajar orang-orang awam cara memelihara ikan dengan betul,
memberikan bantuan kepada kumpulan sasaran mereka. Sumbangan yang paling nampak
dan ketara adalah dari segi bantuan perkhidmatan kepada golongan penternak
ikan, nelayan dan juga pengusaha-pengusaha hiliran perikanan, pelbagai program
seperti bantuan kolam ikan, memberikan pendidikan perikanan, program sumber
manusia dan menyelaras pelbagai program bantuan. Sebagai contoh, hasil bantuan, didikan, dan
kursus, golongan nelayan secara kecil-kecilan dapat menjadi seorang nelayan
yang maju dan berjaya. Pengusaha-pengusaha hiliran perikanan juga dibantu dalam
proses penghiliran seperti ikan dikeringkan menjadi ikan masin, ikan diproses
menjadi bebola ikan dan lekor dipasarkan dan dikomersialkan bagi menjana
pendapatan golongan tersebut.
Pada 31 Januari dan 1-2 Februari tahun
2012, tokoh telah memberikan pendedahan bagi pihak Persatuan Pengusaha
Pengusaha Akuakultur Daerah Papar mengenai kursus ternakan ikan air tawar dari
segi pembenihan ikan keli dan penyediaan makanan ikan kepada penduduk setempat Kampung
Kinuta pada pukul 8 pagi sehingga 3 petang. Kursus yang diberikan oleh beliau
turut mendapat tajaan daripada pihak Agro Bank. Kesannya, dapat dilihat kampung
Kinuta telah berjaya menjadi antara sebuah kampung yang mempunyai kadar
penternakan ikan air tawar yang tinggi di daerah Papar.Kewujudan persatuan ini
membolehkan pembangunan perusahaan penternakan ikan secara lebih sistematik dan
berkelompok.
Sumbangan yang dapat dilihat kesannya
seterusnya adalah dari segi Infranelayan, pembinaan jeti pendaratan ikan di
beberapa buah kampung di sekitar Papar telah memudahkan golongan nelayan
mendaratkan hasil tangkapan mereka di laut. Jeti itu juga dapat menjadi tempat
penyimpanan bot golongan nelayan. Golongan nelayan tidak perlu bersusah-payah
lagi untuk mengangkut hasil tangkapan mereka ke pantai yang agak jauh dari
pendaratan bot mereka.
Bantuan nelayan yang diberikan pula
telah banyak membantu golongan nelayan yang berpendapatan rendah untuk
mendapatkan peralatan penangkapan sendiri. Golongan nelayan miskin diberikan
bantuan seperti alat memancing, enjin bot, beras dan juga peralatan-peralatan
lain yang amat bermanfaat kepada mereka. Dengan bantuan yang diberikan ini,
tokoh telah berjaya menggalakkan penggunaan alat penangkapan ikan yang prodaktif
dalam kalangan nelayan kampung yang sememangnya serba kekurangan dari segi
peralatan yang canggih. Seorang nelayan yang telah dibantu oleh tokoh dan sudah
berjaya ialah Encik Dzulkifli Masri, Kampung Lanas, Kimanis.
Kursus-kursus yang telah diberikan
oleh tokoh memberikan pengetahuan kepada kumpulan sasar mengenai
teknologi-teknologi perikanan yang sedia ada. Pada tahun 2015, tokoh telah mula
memberikan kursus Sistem Tagal kepada penduduk Kampung Ovai, Papar bagi
meneruskan kejayaan seperti Sistem Tagal di Kampung Kinalosodon, Ulu Kimanis, Papar.
Sekitar tahun 2014, kebanyakan masyarakat Papar mula mengenali bidang perikanan
akibat perlambakan kursus perikanan yang telah dianjurkan oleh tokoh sendiri.
5.0 Kesimpulan
Kajian yang
dilakukan selama kira-kira 1 bulan lebih ini memberikan pengkaji pelbagai
pengalaman dan pengetahuan baru. Tugasan ini menggerakkan pengkaji untuk
mempelajari tentang cara-cara tokoh memberikan sumbangan bantuan kepada
kumpulan sasar bagi mendapatkan bahan
untuk keperluan kerja kursus ini. Melalui kajian ini, pengkaji menyedari bahawa
terdapat banyak program perikanan yang telah dilakukan oleh tokoh yang dikaji bagi
meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat yang berkaitan dalam bidang
perikanan.
Melalui pemerhatian secara tidak langsung,
pengkaji mendapati tokoh giat melaksanakan program-program terancang adalah
untuk berbakti kepada masyarakat tempat kelahiran beliau sendiri dan bukannya
untuk mengharapkan balasan. Sesungguhnya kemajuan yang dicapai oleh masyarakat
setempat dapat memberikan kebaikan kepada pelbagai aspek. Pengkaji juga
menyedari bahawa kita haruslah berbangga sebagai seorang rakyat Malaysia kerana
negara kita masih mempunyai tokoh yang sentiasa mengutamakan kebajikan
masyarakatnya dan sentiasa mencari idea dalam melakuan perubahan dalam kemajuan
masyarakat setempat.
Oleh itu, usaha-usaha murni yang
telah dilakukan oleh tokoh wajarlah dicontohi oleh orang ramai. Diharapkan
orang awam akan lebih mengenali tokoh dan menghargai setiap sumbangan yang
telah dilakukan oleh beliau. Pihak kerajaan juga bolehlah memberikan sokongan
kepada usaha tokoh dengan memberikan pelbagai jenis bantuan kepada tokoh.
Aktviti kemasyarakatan seperti ini haruslah diperbanyakkan bagi memupuk rasa
ikhlas dalam diri masyarakat untuk membantu sesama manusia. Tuntasnya, peranan
dan sumbangan tokoh banyak membantu kepada masyarakat setempat di daerah Papar.
[iii] Hanafi,
Masyarakat Indonesia, Bogor: Lembaga
Ilmu Pengetahuan Indonesia, 2006, hlm. 140.
[iv]
Hasil temu bual bersama tokoh di Pejabat Perikanan Papar pada 07 Februari 2017.
[v] Hasil
temu bual bersama anak ke 4 iaitu Dg Nur Hafirah tokoh di rumah tokoh pada 23
March 2017.
[vi] Hasil
temu bual bersama tokoh di Pejabat Perikanan Papar pada 07 Februari 2017.
[x]
Ibid.
[xi]
Arif Satria, Politik Kelautan dan
Perikanan, Surabaya: Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2012, hlm. 40.
[xii]
Zainuddin Zakaria dan Ziadatul Hidayah Zakaria, Kemahiran Memimpin, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn.
Bhd., 2006, hlm muka depan dan muka belakang.
[xiii]
Ab.Aziz Yusof, Perubahan Kepimpinan,
(t.t.p): Penerbit Universiti Utara Malaysia, 2003, hlm muka belakang.
[xv]Jabatan
Perikanan Sedia Bantu Sistem Tagal - http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/jabatan-perikanan-sedia-bantu-sistem-tagal-1.572263
Bibliografi
Ab.Aziz Yusof. Perubahan
Kepimpinan, (t.t.p): Penerbit Universiti Utara Malaysia, 2003.
Arif Satria. Politik
Kelautan dan Perikanan, Surabaya: Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2012.
Hanafi. Masyarakat
Indonesia, Bogor: Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, 2006.
Marius Denis. “Sejarah
Ulu Kimanis”. Diakses pada 20 March, 2017. http://ulukimanis.blogspot.com/2010/06/sejarah-ulu-kimanis.html?m=1
(t.p.). “Isu-isu
perikanan”. Diakses pada 21 March, 2017. http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/jabatan-perikanan-sedia-bantu-sistem-tagal-1.572263
(t.p.). “Jabatan Perikanan
Sedia Bantu Sistem Tagal”. Diakses pada 25 March, 2017. http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/jabatan-perikanan-sedia-bantu-sistem-tagal-1.572263
(t.p.). “Peperiksaan
Kenaikan Pangkat”. Diakses pada 27 Feb 2017.
(t.p.). “Peranan Tokoh”.
Diakses pada 17 March 2017.
(t.p.). “Sistem Tagal”.
Diakses pada 25 March, 2017. http://www.ceritakami.com/sungai-tagal-kg-kinolosodon-kimanis/
(t.p.). “Jabatan
Perikanan Sedia Bantu Sistem Tagal”. Diakses pada 25 March, 2017. http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/jabatan-perikanan-sedia-bantu-sistem-tagal-1.572263
Zainuddin Zakaria dan
Ziadatul Hidayah Zakaria. Kemahiran Memimpin, Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd., 2006.
Temu bual
Tuan
Mohd Tahir yakni tokoh sendiri ditemu bual pada 07 Februari dan 23 March 2017
di Pejabat Perikanan Papar dan rumah tokoh.
Dg
Nur Hafiqah iaitu anak bongsu tokoh ditemu bual pada 02 Feb 2017 melalui
aplikasi Whatsapp.
Dg
Nur Hafirah iaitu anak ke 3 tokoh ditemu bual pada 23 March 2017 di rumah
tokoh.
Comments
Post a Comment